Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.
Lalu Imam Al Ghazali bertanya.
1 – Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di
dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan
kerabatnya. Imam Al Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang
paling dekat dengan kita adalah “mati”. Kerana mati itu janji Allah SWT. Janji
Allah Ta’ala bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya
pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa
yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah
berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala
kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran: 185)
2 – Lalu Imam Al Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua.
“Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan,
matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Al Ghazali menjelaskan bahawa semua
jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa
lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan kembali
ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang
akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam
3 – Lalu Imam Al Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang
ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari.
Semua jawapan itu benar kata Imam Al Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang
ada di dunia ini adalah “nafsu”.
Nafsu yang menguasai diri menyebabkan manusia gagal
menggunakan akal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala
untuk hidup berlandaskan kebenaran.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak
dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
(ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu
mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah
Al-A’araaf: 179)
4 – Pertanyaan keempat adalah, “Apa yang paling berat di
dunia ini?”
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir
benar, kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah.”
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah
(Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka
mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana
tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu)
manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah)
sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka
pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” ( Surah Al-Ahzaab:
72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak
mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di
dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup terima permintaan Allah
SWT, sehingga banyak dari manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu
memegang amanahnya.
5 – Pertanyaan yang kelima adalah, “Apa yang paling ringan
di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua
itu benar kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah
meninggalkan solat. Ramai dalam kalangan kita, kerana kerja, kerana urusan
dunia, kerana hiburan, kita tinggalkan solat. Sedangkan tuntutan solat itu yang
lebih utama.
6 – Lantas pertanyaan ke enam adalah, “Apakah yang paling
tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata
Imam Al Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana, dengan
lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan
saudaranya sendiri.
والله أعلمُ بالـصـواب