Soalan dan Jawapan Yang Bocor Tapi Masih Tidak Dapat Dijawab, sekiranya IMAN bukannya PILIHAN kita.
Setiap yang hidup akan mati, dan setiap yang mati akan dibangkitkan semasa di Padang Masyar. Adakah kita golongan ahli Syurga atau golongan ahli Neraka. Kita yang tentukan sama ada di Syurga atau di neraka selepas kehidupan di alam barzakh.
Setiap muslim yang hidup di dunia ini perlu tahu apa soalan-soalan cepumas yang akan ditanya dan semua jawapan tersebut telah kita ketahui. Yang kita tidak ketahui adalah dapatkah kita menjawab semua persoalan yang ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Nakir.
Rasulullah s.a.w bersabda: ”Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka menyoalnya: Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?
Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: Apa yang engkau pernah sembah?
Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: Aku menyembah Allah!
Kemudian ia ditanya lagi: Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?
Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:
Mereka menyoalnya dengan berkata: Siapa Tuhanmu?
Ia menjawab: Tuhanku ialah Allah!
Mereka bertanya lagi: Apa agama mu?
Ia menjawab: Agamaku ialah Islam!
Mereka bertanya lagi: Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu?
Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata:Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!
Mereka berkata kepadanya: Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian.
No comments:
Post a Comment