Husnuzon bermaksud bersangka baik kepada
orang lain. Menganggap baik sesuatu perkara itu sangat dituntut dalam Islam
kerana bersangka baik itu lebih baik, mulia dan dapat mengelakkan dari menuduh
orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan.
Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.telah
berkata : “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar
daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara
untuk meletakkannya di tempat yang baik.”
Orang yang bersangka buruk seolah
memfitnah orang, kerana sangkaan buruknya itu tidak mempunyai bukti yang nyata
dan kukuh. Ini dibimbangi terjadinya fitnah yang membawa kepada dosa besar,
kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain.
Firman Allah سبحانه
وتعالى :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ
ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ
ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن
يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ
تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah
dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah
dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di
antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang
suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh
itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada
Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah
Al-Hujurat, 49; Ayat 12)
.
Fadhilat Bersangka Baik
Bersangka baik juga mempunyai banyak
kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah:
1.
Mengelakkan manusia dan ummah daripada berpecah-belah antara satu sama
lain yang akan merugikan masyarakat dan Negara bak kata pepatah ‘Mencegah Lebih
Baik Dari Mengubati’.
2.
Dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam dan mencegah
perkara-perkara mungkar dari terus bersarang di hati kita,
3.
Selalu merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai orang lain walaupun
diri sendiri belum berjaya.
4.
Mewujudkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam
yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan
mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.
5.
Hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati
bebas dari bersangka buruk terhadap, maka yang ada dalam hatinya adalah
sangkaan yang baik-baik sahaja. Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada
saudaranya itu dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia.
6.
Mengelakkan daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia
kerana menuduh manusia lain tanpa bukti yang kukuh.
Firman Allah سبحانه وتعالى :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ
ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا
بِجَهَٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah
(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
Dengan perkara yang tidak diingini Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) –
sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” (Surah
Al-Hujurat, 49; Ayat 6)
.
Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta
Islam mewajibkan umatnya mencegah
kemungkaran yang berlaku disekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang
ada pada mereka. Andai kata kita melihat atau ternampak orang yang melakukan
dosa dan kemaksiatan, tetapi masih bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar
itu, maka kita juga turut berkongsi saham dan tidak terlepas dari menanggung
dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut.
Rasulullah ﷺbersabda : “Sesiapa di antara kamu yang melihat
kemungkaran, hendaklah ia mencegah dengan tangan (kekuasaan), jika ia tidak
mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka
dengan hatinya (berasa tidak senang, tidak setuju dan tidak meredhai). Dan itu
adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Adalah jelas bahawa umat Islam tidak
boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan kemungkaran dan maksiat
secara terang-terangan. kerana perkara tersebut jelas melanggar hukum dan
larangan Allah. Contohnya apabila terlihat orang Islam bermain judi, atau
membeli nombor ekor. Tetapi bersangka dalam hati, “Mungkin orang tersebut
kesempitan wang… biarlah, dia juga nak cari rezeki…” Sepatutnya, kita haruslah
mencegah kemungkaran itu, bukan meredhainya.
Firman Allah سبحانه
وتعالى :
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ
لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَٰٓئِكَ
كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا
“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang
tidak kamu ketahui; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani,
semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat)
tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)
No comments:
Post a Comment