Tuesday, November 11, 2014

Masihkah ada waktu


Mungkin hari ini kita beruntung dan berasa lapang dada kerana terselamat daripada dosa, tapi bagaimana dengan hari esok dan seterusnya? Adakah kita boleh memberi jaminan tidak terbabit dengan sebarang dosa?

Ada orang hidupnya dipenuhi dosa. Pendek kata dalam sehari semalam, semuanya mendatangkan dosa. Di dalam rumah mahupun di luar, segalanya menyebabkan dosa. Apa fikiran anda terhadap orang seperti ini?

Sebelum itu, cuba kita perhatikan ayat 53 daripada surah az-Zumar yang bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Di sini menunjukkan walaupun seseorang itu banyak dosa, masih ada harapan untuk bertaubat. Oleh itu, janganlah berputus asa dan membawa diri jauh daripada Allah kerana Dia Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Sebenarnya sifat tidak berputus asa sesuai dengan fitrah manusiawi dan ia sangat mulia kerana dengannya akan membawa kesejahteraan dan keselamatan, sedangkan berputus asa akan membawa penyesalan berpanjangan.Malah, orang berputus asa daripada mendekatkan diri kepada Allah adalah orang yang sesat seperti diterangkan dalam surah al-Hijr, ayat 56 bermaksud: “Nabi Ibrahim berkata: Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.”

Dalam kitab Nashaihul Ibad, Muhammad bin al-Dauri rahimahullah berkata: “Iblis celaka disebabkan lima perkara iaitu tidak mengaku dosa, tidak bersedih, tidak mencela dirinya sendiri, tidak berazam dan berniat untuk bertaubat serta putus asa daripada rahmat Allah.

“Sementara Nabi Adam AS bahagia kerana lima perkara iaitu mengakui dosa, menyesali atas dosanya, menyalahkan dirinya sendiri, segera bertaubat dan tidak putus asa daripada rahmat Allah.”

Imam Nawawi menjelaskan: “Iblis binasa kerana takbur, enggan bertaubat dan berputus asa daripada rahmat Allah, sedangkan Nabi Adam sebaik saja sedar daripada kesilapan, baginda segera bertaubat dan terus mengharapkan rahmat Allah.

“Kemudian Allah mengampuni segala dosa dan kesalahannya serta memberikan hidayah dan menjadikan baginda sebagai makhluk pilihan-Nya.”

Hal ini seperti dijelaskan dalam surah Thaha, ayat 121 dan 122 yang bermaksud: “Maka mereka berdua memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun daripada syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan.

“Kemudian Tuhannya memilihnya dengan diberi taufik untuk bertaubat, lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”

Justeru, kita sebagai manusia biasa lebih-lebih lagi terdedah kepada kesalahan dan dosa. Malah, dosa kita selalunya bertimpa-timpa, sama ada disebabkan tangan, mata, telinga, kaki, kemaluan mahupun hati.Namun, betapa banyak dosa dilakukan, bukan bererti pintu taubat sudah tertutup. Kita masih ada waktu untuk kembali ke pangkal jalan, bertaubat dan seterusnya menjalankan ibadat kepada Allah dengan istiqamah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa melakukan kesalahan atau dosa, kemudian menyesali perbuatan itu, maka penyesalan itulah tebusannya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Sabda baginda SAW lagi: “Setiap anak Adam mempunyai kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang yang bertaubat.”

Ibn Athaillah ada menyatakan: “Apabila suatu dosa menimpa dirimu, maka janganlah dosa itu menjadikanmu berputus asa untuk menghasilkan istiqamah di sisi Tuhanmu. Sebab yang demikian itu kadangkala sebagai dosa terakhir ditakdirkan Allah ke atasmu.”

Oleh itu, usahlah menjauhkan diri daripada Allah. Mungkin kita pernah terbabit dengan kesalahan besar dan dipinggirkan khalayak, namun Allah yang sifat-Nya Maha Pengasih tidak meminggirkan hamba-Nya yang ingin kembali ke pangkal jalan.Apabila sedar diri berada jauh, jangan dibiarkan diri terus kejauhan, tapi dekatkanlah. Bangun dan berdirilah. Namun, janganlah berdiri seperti patung yang kaku, tapi perbaharuilah jiwa dan semangat melangkah ke depan.Siapa tahu barangkali dosa yang dilakukan itu adalah dosa terakhir menurut takdir Allah. Andai terjadi lagi dosa, itu adalah di luar dugaan kerana kita tidak mengetahui kejadian yang akan berlaku.

Menurut Imam Nawawi lagi, wali Allah yang terkenal seperti Ibrahim bin Adham dan Fuhail bin Iyadh sebelumnya seperti orang awam, turut terbabit dengan pelbagai dosa, tetapi akhirnya menjadi hamba Allah yang soleh.


Kita juga mempunyai harapan untuk menjadi orang soleh asalkan kita sentiasa sedar dosa dilakukan dan kembali bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya, Allah mengasihi orang yang rajin bertaubat dan sentiasa mensucikan diri.

No comments:

Post a Comment