Daripada
Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat
seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya,
“bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w.,banyakkan menyebut
mati dan membaca al-Quran. Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan
dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah
tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak
dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat.
Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak
kejahatan.
Suatu
riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, mengatakan pernah Rasulullah s.a.w
berlalu seraya melihat satu halaqah (perkumpulan) para sahabat, lalu baginda
berhujah: Apakah gerangan kamu berkumpul di sini? Jawab mereka: “Kami duduk
berzikir kepada Allah Azzawajalla yang telah memberi petunjuk dengan Agama
Islam, dan telah bermurah hati atas kami dengan hidayatnya. Ujar baginda: “Demi
Allah, benarkah itu yang menyebabkan kamu berkumpul itu? Jawab mereka: “Demi
Allah, kami tidak berkumpul di sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.”
Ujar baginda pula: “Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku
masih meragukan kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan
memberitahuku, bahawasanya Allah Ta’ala memuji-muji kamu di hadapan para
Malaikat.”
Dalam satu
riwayat lain dikeluarkan oleh al-Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w. mendapati
suatu kelompok orang sedang berzikir kepada Allah Ta’ala, maka ujar baginda:
“Apa yang kamu bicarakan, sesungguhnya aku lihat rahmat Allah sedang menghujani
kamu, dan aku pun ingin menyertai kamu sekalian.”
Pernah satu
ketika seorang sahabat Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki
yang raut wajahnya murung (berduka). Lalu lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu
Mas'ud, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar
untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu
tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut. Aku tidak
selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."
Mendengar
itu Ibnu Mas'ud terus berkata: "Sekiranya itulah penyakit yang menimpa
jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu , tempat
orang membaca al Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua,
majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah
tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT
dengan khusyuk dan tulus ikhlas."
Sebenarnya
segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak berdoa
agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa barulah kita
boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya: "Ya Allah Ya
Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak
khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta
ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara
itu."
Selain
pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan berzikir
kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan agama, menguatkan
iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati segala perkara yang
merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang biasa membaca al-Quran dan
berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi
dan penawar bagi semua penyakit hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.
Sumber: www.cahayamukmin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment