Hadith:
Rasulullah
s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab
pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya
diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika
sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang
dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu
mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang
terkurang dari sembahyang fardunya?
Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.
Huraian
Hadith:
i) Seorang
mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu
yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi
tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti
sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya. ii)
Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah
seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan
ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan
yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah
suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak
segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang,
puasa dan sebagainya. iii) Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di
dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): Berusahalah untuk duniamu
seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu
seolah-olah engkau akan mati esok hari.
No comments:
Post a Comment