Ramai orang
Islam yang mengerjakan solat tetapi berapa ramai yang dapat merasai khusyuk di
dalam solatnya ? Khusyuk merupakan perkara maknawi yang tidak dapat dilihat
namun mampu dirasa oleh sebahagian orang. Sebuah kitab fiqh yang menyentuh
secara khusus tentang bab solat ini ialah Muniyatul Musalli yang mana solat
digambarkan sebagai persembahan hadiah kepada Khaliq. Solat yangtidak khusyuk
ibarat persembahan hadiah yang tidak bernilai dan tidak memberi sebarang makna.
Perumpamaan
yang dinukilkan oleh pengarang kitab ini ialah solat itu diibaratkan seperti
batang tubuh manusia. Kemuncak bagi matinya fungsi batang tubuh ialah apabila
tiada lagi roh atau nyawa yang mendiami batang tubuh tersebut. Justeru, solat
yang tidak khusyuk telah dimenefestasikan oleh pengarang kitab sebagai batang
tubuh yang tidak bernyawa, kaku dan mati.
Secara
ironisnya, perkara paling asas yang harus difahami oleh setiap orang Islam
ialah kebersihan hati menjadi faktor yang membawa kepada kekhusyukan solat.
Oleh yang demikian, dalam usaha untuk mencapai kekhusyukan dalam solat,
penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang
berkaitan dengan anggota badan.
Menurut
Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menyebut bahawa enam unsur
ibadah hati yang perlu diberi perhatian ialah:-
1.Kehadiran hati,
2.Pemahaman,
3.Pengagungan,
4.Merasai kehebatan,
5.Harap dan
6.Malu.
Kehadiran hati bermaksud, hati
tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat.
Pemahaman
bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat.
Pengagungan
dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah hasil daripada
kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran ilahi.
Harap pula bermaksud,
mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah sahaja tempat pergantungan
bagi manusia.
Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan
kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Beberapa
pengaruh luaran turut perlu dikawal dan dijaga dalam memastikan seseorang mampu
mencapai tahap khusyuk di dalam solatnya. Antaranya, jika seseorang berasa
lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih dahulu
Sebagaimana sabda Nabi
yang diriwayatkan oleh Imama Bukhari dan Muslim yang bermaksud : Apabila datang
makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan
mengambil makanan terlebih dahulu”.
Dalam kitab
Ihya Ulumuddin pada bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam al-Ghazali
berkata : “pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada
pendengaran dan penglihatan dan sekaligus menganggu kekhusyukan seseorang. Oleh
iu, menjauhkan diri dari kesemua perkara tersebut merupakan satu-satunya jalan
yang boleh dilakukan.
Sebagai contoh, tidak melaksanakan solat di tempat yang
dipenuhi ukiran kesenian atau di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang
menarik serta gambar-gambar.
Ketika
hendak bertakbiratul ihram hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara
yang boleh menganggu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada
akhirat dan dibayangkan keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada
satu hari nanti.
Walaubagaimanapun,
hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali
dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya
tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat.
Justeru,
mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita
duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan
seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang
dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka.
Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu.
Wallahua’lam...
sumber blog bingkisandakwah
No comments:
Post a Comment